Wednesday, February 16, 2005

BERITA HARIAN 17/2/05 Kelab perlu daftar dengan PPS

- Sukan -

Oleh Lukman Salleh
PESURUHJAYA Sukan, Tan Sri Elyas Omar mengarahkan semua kelab yang berasaskan sukan memastikan mereka berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) agar mereka boleh melaksanakan aktiviti secara sah.
Ini kerana, ada kelab sukan didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat (ROC) atau Pendaftar Perniagaan (ROB) sekali gus tidak sah melaksanakan aktiviti sukan.Menurut Elyas, kelab terbabit perlulah mendaftar dengan PPS untuk diiktiraf sebagai sebuah kelab sukan dan membolehkannya bergiat termasuk kemungkinan bergabung dengan persatuan induk kebangsaan.Beliau berkata demikian ketika berdialog dengan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dan wakil kelab-kelab taekwondo berhubung isu keanggotaan dan kuasa mengundi kelab dalam MTA, di Bukit Jalil semalam.Penjelasan beliau itu secara langsung menjawab tuntutan pelbagai persatuan sukan pada majlis dialog berasingan kelmarin agar Pesuruhjaya Sukan mengeluarkan tarif jelas mengenai status kelab sukan dan hak-haknya.“Anda (kelab) perlu mendaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk melaksanakan aktiviti sukan masing-masing.“Jika anda tidak berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebaliknya dengan ROB atau ROC, kami tidak akan memberi perhatian kepada anda dan apa (aktiviti) yang anda lakukan bukan kepentingan kepada kami.“Maka, anda perlu berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan mulai sekarang,” kata Elyas semalam.Sebelum ini beberapa kelab taekwondo menuntut diberikan hak bersuara dan mengundi serta diterima sebagai ahli gabungan penuh dalam persatuan induk kebangsaan.Ini mendorong PPS kelmarin menganjurkan dialog bersama badan sukan kebangsaan untuk membincangkan isu itu.Akta Pembangunan Sukan 1997, Bahagian V (Pendaftaran dan Penyelia Badan Sukan) Seksyen 15 (1) menyebut: Tiap-tiap badan sukan hendaklah memohon kepada Pesuruhjaya Sukan supaya didaftarkan di bawah Akta ini bagi menjalankan apa-apa aktiviti sukan.Seksyen 15 (2) selanjutnya menjelaskan bahawa “Tiada badan sukan boleh menjalankan mana-mana aktiviti yang disebut dalam subseksyen 25 (1) sehingga dan melainkan jika ia telah didaftarkan di bawah Akta ini.Manakala di bawah Bahagian VII (Pelbagai) Seksyen 36 (1) menyebut: Sesuatu syarikat tidak boleh terbabit dalam apa-apa aktiviti sukan atau dalam apa-apa aktiviti lain berkaitan dengan sukan, yang ditetapkan oleh Menteri dalam peraturan-peraturan, melainkan jika ia dilesenkan berbuat demikian oleh Pesuruhjaya Sukan.Subseksyen 2 bahagian sama pula menjelaskan bahawa lesen yang disebut dalam subseksyen (1) boleh dikenakan fee (yuran) dan apa-apa syarat yang difikirkan oleh Pesuruhjaya Sukan patut dikenakan.Penjelasan ini mungkin dalam meleraikan kekusutan mengenai perbalahan antara kelab sukan dan persatuan induk kebangsaan dan seharusnya PPS mengeluarkan arahan dan kenyataan jelas mengenai pendaftaran dan peraturan badan sukan termasuk ‘kelab sukan’.

No comments: